TABARRUJ..? BOLEH JE

Sebelum tu boleh buka entry ni dulu..


Pertama sekali, suka saya menyebutkan hadith ini dari kata-kata Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Aku pernah berdiri di hadapan pintu neraka, ternyata aku melihat sebahagian besar penghuninya adalah wanita"

"Aku pernah menjenguk ke neraka dan melihat sebahagian besar penghuninya adalah kaum wanita"
(Kedua-dua adalah Hadis Sahih Bukhari dalam Bab Al-Nikah)


Pengertian Tabarruj Sorotan Kitab menurut Adnan Al-Tharsyah (Serba-Serbi Wanita, M/S 111 - 113), tabarruj adalah mempamerkan keindahan tubuh, sufur adalah memperlihatkan aurat, khalwat adalah berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram, ikhtilat pula bercampur-gaul dengan lelaki di pelbagai kegiatan.


Sayyid Muhammad Nuh (Penyebab Gagalnya Dakwah Vol 1, M/S 69 - 70), antara penyebab wanita gagal dalam menjalankan kerja-kerja dakwah adalah kerana wanita melakukan tabarruj yakni membuka aurat.


Shofian Ahmad (Aurat : Kod Pemakaian Islam, M/S 103), pakaian yang dipakai oleh wanita disyaratkan tidak melebihi objektif perhiasan, tetapi lebih mengutamakan objektif syariat iaitu menjaga aurat. Hal ini disebabkan pakaian pada prinsipnya untuk menutup anggota badan supaya pandangan orang tidak tertumpu kepadanya. Justeru, apabila pakaian perhiasan adalah secara keterlaluan dengan pelbagai aksesori perhiasan sehingga menarik perhatian orang, maka hilanglah fungsi sebenar pakaian.


Apabila objektif pakaian itu ialah berhias, maka hukum memakainya ketika keluar rumah adalah ditegah. Bahkan, menurut Al-Maududi, setiap perhiasan dan setiap yang diperhiaskan oleh wanita dengan tujuan menarik perhatian orang asing, maka ia dikatakan "tabarruj al-jahiliah". Sedangkan motif pakaian dalam Islam lebih kepada penutupan aurat bukan sebagai perhiasan.


Yusof Al-Qaradawi (Fatwa-Fatwa Kontemporari II, M/S 465), menyenaraikan beberapa peringatan dalam etika berhias bagi wanita, antaranya ; bahawasanya dibolehkan membuka wajah (menampakkan rupa paras) tidak dimaksudkan agar si wanita menghiasnya dengan bermacam-macam bedak dan perfume yang berwarna-warni. Begitu juga dengan tangan yang dibenar diperlihatkan tidak dimaksudkan agar mereka memanjangkan kuku dan mengecatnya. Tetapi hendaklah wanita itu keluar dengan sopan, tidak bersolek dan bermake-up berwarna warni, dan tidak tabarruj yakni menampakkan aurat, berpakaian mini, tipis atau yang membentuk lekuk tubuh. Yang diperbolehkan adalah perhiasan yang ringan-ringan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dan yang lainnya iaitu celak di mata dan cincin di jari. Tabarruj yang dilarang menurut Al-Qaradawi hanya dinamakan tabarruj apabila wanita itu melangkah keluar dari rumah. (Ibid, M/S 543)


Dalam pergerakan seseorang wanita, janganlah terlalu berlenggang-lenggok dan menarik perhatian.

"(Iaitu) wanita-wanita yang menyimpang dari ketaatan dan menjadikan hati lelaki cenderung kepada kerosakan (kemaksiatan)"
(HR Ahmad dan Muslim) 


Huraian Hadis : 

Mumiilat dan Maailat mengandungi 4 pengertian :-

  1. Pertama, menyimpang dari mentaati Allah dan enggan memenuhi kewajibannya seperi menjaga kehormatan dan sebagainya, dan mengajari wanita lain supaya berbuat seperti itu.

  2. Kedua, berjalan dengan sombong dan melenggang-lenggok, meliuk lintuk tubuhnya.

  3. Ketiga, maailat, menyisir rambutnya sedemikian rupa dengan gaya pelacur. Mumiilat, menyisir wanita lain seperti sisirannya.

  4. Keempat, cenderung kepada lelaki dan berusaha menariknya dengan menampakkan perhiasannya dan sebagainya.
    (Syarah Muslim, 17 : 191)


Dr. Yusof Al-Qaradawi (Fatwa Kontemporari Vol II Terjemahan M/S 393), mengatakan,

"Pihak wanita harus mengenakan pakaian yang sopan yang dituntut oleh syara', yang menutup seluruh tubuh selain muka dan telapak tangan. Jangan yang tipis dan jangan dengan potongan yang menampakkan bentuk tubuh"


Allah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud,

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"


Diriwayatkan dari beberapa sahabat bahawa perhiasan yang boleh diperlihatkan adalah muka dan tangan. Allah berfirman mengenai sebab diperintahkanNya berlaku sopan,

".. yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu"
(Al-Ahzab : 59)


M.A. Muabbir Al-Qathany (Pesan Untuk Muslimah, M/S 32), pemikir Barat kini telah mulai mengingatkan bangsanya dengan apa yang pernah terjadi dengan bangsa Romawi akibat tabarruj dan ikhtilat para wanita. Tabarruj, menampakkan auratnya di depan orang yang bukan mahramnya. Di dalam Majalatut Majallat, Jilid 11, Mr Lois Browl menyebutkan,

"Sesungguhnya kerosakan-kerosakan dalam dasar-dasar politik itu terdapat di setiap zaman. Yang paling mengejutkan adalah bahawasanya penyebab-penyebab kerosakan itu adalah sama, dari zaman dulu sampai sekarang, iaitu wanita..! Wanitalah sebagai pelaku terpenting mengubah akhlak dan moral yang mulia"


Anang Harris Himawan (Bukan Salah Tuhan Mengazab, 2007, M/S 8 - 10), tabarruj adalah berhias dengan tujuan bukan untuk menyenangkan si suami, tetapi untuk orang lain. Bahkan kebiasaan yang terjadi di kalangan wanita adalah berhias yang mereka lakukan cenderung berlebihan sehingga menjadi riya'. Sikap berlebih-lebihan dalam berhias inilah yang menurut mereka dapat menjadi penyebab ransangan seksual. Ada pun dasar yang digunakan adalah firman Allah dari Surah Al-Ahzab ayat 33.


Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Ada dua kelompok penghuni Neraka yang belum pernah aku melihatnya ; satu kaum yang bersama mereka terdapat cemeti seperti ekor sapi, dengannya mereka memukul orang-orang. Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang ; berlenggang-lenggok dan bergoyang-goyang; kepala mereka seperti punuk unta yang bengkok. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak juga mencium baunya. Sesungguhnya bau Syurga itu sudah tercium dari jalak perjalanan sekian lama dan sekian lama." Dalam lafaz yang lain disebut, "Sesungguhnya bau Syurga itu sudah tercium dari jarak perjalanan begini dan begitu"
(Disusun dari Syarh An-Nawawi XIV / 357, Muslim Kitab "Al-Libaas Wa Al-Zinah" , Bab An-Nisa' Al-Kaasiyaat, No. 2 128 Dan Kitab Al-Jannah Wa An-Naar, Bab 'An-Naar Yadkhuluhal Jabbaaruun' , No. 2 128)


Dr. Danial Zainal Abidin (Minda Muslim Super, 2008, M/S 54 - 55) mengulas mengenai tafsir Surah Al-Ahzab ayat 33 ; berhubung ayat ini, Imam Mujahid berkata, 

"Suatu masa dahulu, golongan wanita berjalan di hadapan lelaki (tanpa segan silu). Inilah yang dimaksudkansebagai tabarrujul jahiliah" 


Imam Qatadah pula berkata, 

"Suatu masa dahulu, kaum wanita berjalan di hadapan lelaki dengan gaya yang mengghairahkan. Inilah yang dimaksudkan dengan tabarrujul jahiliah yang terdahulu"


Imam Muqatil bin Hayyan pula berkata, 

"Tabarruj berlaku apabila wanita menutup kepala mereka dengan kain tudung tetapi masih mendedahkan leher, rantai dan subang mereka"


Rujuklah Surah An-Nuur ayat 30 yakni seruan supaya kaum lelaki dan kaum beriman menundukkan pandangan mereka, jaga kehormatandan kemaluan mereka.


Syeikh Abdul Wahab Abdussalam Thawilah (Panduan Berbusana Islami, 2007, M/S 85 - 86), mengatakan tabarruj adalah memperlihatkan bahagian perhiasan yang mengundang perhatian. Hal ini dilarang baik bagi wanita menopause mahupun yang lainnya. Abu Hayyan ada mengatakan,

"Pengertian tabarruj adalah memperlihatkan sesuatu yang wajib disembunyikan sekalipun tidak bermaksud untuk bersolek"


Kemudian, Syeikh menyentuh pentafsiran Surah An-Nuur ayat 31 (Di Halaman 76 - 77)

"Kecuali yang biasa tampak darinya" 


Adalah pakaian luar yang tidak memuat unsur tabarruj yakni memperlihatkan perhiasan dan keindahan seperti yang dikenakan di luar pakaian. Hal ini kerana pengertian ziinah (perhiasan) yang berulang kali disebutkan dalam Al-Quran adalah perhiasan yang melampaui batas kewajaran, bukan perhiasan sebagai bahagia dari pakaian yang lazim.


Fadwal El Guindi, Ph.D (Jilbab, 1999, M/S 33 Dan Berkaitan) menyebutkan konsep tabarruj adalah sifat mempamerkan diri dalam tingkah laku dan cara berpakaian yang sering terjadi dalam masyarakat pra-Islam, serta termasuk dalam perbuatan yang dibenci dalam Islam.


Sifat mempamer ini dilakukan melalui gaya berjalan berlenggang-lenggok yang mudah terjadi pada pakaian ketat. Beliau juga menyebutkan (Halaman 319), tabarruj adalah lawan kepada tahajjub (berhijab tutup aurat), yakni penampilan mempamer dan perilaku yang tidak patut.

"Barangsiapa mengenakan pakaian untuk mencari populariti di dunia, nescaya Allah akan mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka"
(HR Abu Dawud dan Ibnu Majah)


M. Fauzi Rachman (The Hikmah 4U, M/S 58) ; Syeikh Sayyid Sabiq mendefinisikan tabarruj ertinya memperlihatkan dengan sengaja apa yang seharusnya disembunyikan. Tabarruj asal maknanya ialah keluar dari istana. Kemudia kata ini digunakan dengan erti keluarnya perempuan dari kesopanan, menampakkan bahagian-bahagian tubuhnya yang mengakibatkan fitnah atau dengan sengaja memperlihatkan perhiasan-perhiasan yang dipakainya untuk umum.


M. Nasib Ar-Rifa'i (Ringkasan Tafsir Ibnu Kathir Jilid 3, 2000, M/S 853) menukilkan dari Tafsir Ibnu Kathir, firman Allah dari Surah Al-Ahzab ayat 33, maksudnya apabila mereka keluar rumah, mereka harus berjalan cepat, tidak boleh lincah, genit gedik, dan tabarruj, iaitu menanggalkan tudung yang ada di kepalanya serta tidak mengikatnya dengan kuat sehingga nampaklah kalungnya, leher dan tengkuknya. Inilah makna tabarruj.


Menjawab persoalan pakaian yang berwarna merah samada tabarruj atau tidak :-


Pengaju soalan : (KMUP , 2011) : "Al - Imam Ibn 'Abd Al - Barr (463) :

"Adapun wanita maka ulama tiada perbezaan pendapat bahawa harus mereka memakai warna mu’asfar (merah), mufaddam (tersangat merah), warna ros, merah tanah"
(Al-Tamhid, 16 / 123, Muassasah Al - Qurtubah)


Jawapan (Bersumber dari Ustaz Aris Munandar Muslim Or ID) :


Dari Abdullah bin 'Amr bin al 'Ash, Rasulullah pernah melihatku mengenakan pakaian yang dicelup dengan 'ushfur maka Nabi menegurku dengan mengatakan, 

"Ini adalah pakaian orang-orang kafir jangan dikenakan"


Dalam lafaz yang lain, Nabi melihatku mengenakan kain yang dicelup dengan 'usfur maka Nabi bersabda, 

"Apakah ibumu memerintahkanmu memakai ini..?" 


Aku berkata, 

"Apakah ku cuci saja..?" 

Nabi pun bersabda, 

"Bahkan bakar saja"
(HR Muslim)


Ibnu Hajar menjelaskan majoriti kain yang dicelup dengan 'ushfur itu berwarna merah (Fathul Bari, 10 / 318) Imam Nawawi pula menisbahkan "bahkan bakar saja" itu adalah sebagai bentuk hukuman dan pelarangan keras terhadap pelaku dan yang lainnya agar tidak melakukan hal yang sama.


Tetapi, hadis dari Al Barra' adalah sebaliknya, beliau mengatakan,

"Nabi adalah seorang yang berbadan tegap. Ketika Nabi mengenakan pakaian berwarna merah maka aku tidak pernah melihat seorang yang lebih tampan dibandingkan beliau"
(HR Bukhari dan Muslim)

Mengapa ada perselisihan di sini..? Jawapannya adalah ditegaskan bahawa yang terlarang adalah kain yang berwarna merah tanpa corak tanpa campuran warna selainnya. Sehingga jika kain berwarna merah tersebut bercampur dengan garis-garis yang tidak berwarna merah maka diperbolehkan.


Ulama' memberikan huraian sebagaimana berikut tentang memakai pakaian berwarna merah terdapat beberapa pendapat ulama' :-

  1. Membolehkan secara mutlak


    Inilah pendapat dari 'Ali, Tholhah, Abdullah bin Ja'far, Al Barra' dan para sahabat yang lain. Sedangkan di antara tabi'in adalah Sa'id bin Al-Musayyib, An-Nakha'i, Asy-Sya'bi, Abul Qilabah dan Abu Wa'il.


  2. Melarang secara mutlak


  3. Makruh


    Hukum makruh berlaku untuk kain berwarna merah membara dan tidak untuk warna merah yang redup. Pendapat ini dinukil dari Atho', Thowus dan Mujahid.


  4. Makruh


    Hukum makruh berlaku untuk semua kain berwarna merah jika dipakai dengan maksud semata berhias atau mencari populariti namun diperbolehkan jika dipakai di rumah dan untuk pakaian kerja. Pendapat ini dinukil dari Ibnu Abbas.

  5. Diperbolehkan jika dicelup dengan warna merah semasa berupa kain baru kemudian ditenun dan terlarang jika dicelup setelah berupa tenunan. Inilah pendapat yang dicenderungi oleh Al-Khathabi.

  6. Larangan hanya berlaku untuk kain yang dicelup dengan menggunakan bahan 'ushfur kerana itulah yang dilarang dalam hadith sedangkan bahan pencelup selainnya tidaklah terlarang.

  7. Yang terlarang adalah warna merah membara bukan semua warna merah dan pakaian tersebut digunakan sebagai pakaian luar kerana demikian itu adalah gaya berpakaian orang yang tidak tahu malu.

  8. Sedangkan pendapat terakhir, yang terlarang adalah jika kain tersebut seluruhnya dicelup dengan warna merah. Tapi jika ada warna selainnya, seperti putih dan merah maka tidak mengapa.


Dari Abu Usamah (alfikrah.net) dari kitab (Sheikh Abu Malik Kamal Bin As - Sayyid Salim, Sahih Fiqh As - Sunnah, Terjemahan : Sahih Fiqih Sunnah, jilid 4, M/S 19 - 21, Terbitan Pustaka At - Tazkia) :


Ulama terbahagi kepada dua kumpulan di dalam hal ini iaitu :


1. Makruh memakai pakaian berwarna merah. Ini merupakan mazhab Hanafiah dan Hanabilah. Hujah mereka ialah :


Hadis Al-Bara' bin Azib, beliau berkata,

"Nabi SAW memerintahkan kami 7 perkara dan melarang kami 7 perkara. Kemudian beliau menyebutkan antara di antaranya bantal berwarna merah"
(Sahih, Al - Bukhari : 5 849, dan Muslim : 2 066)


Dalam riwayat lain, hadis Imran Bin Husain RA,

"Baginda melarang memakai bantal yang berwarna merah terang"
(HR At - Tirmizi : 2 788, beliau menyatakan hadis ini Hasan Sahih), pengarang menyatakan hadith ini Dhaif.


Argumen :

1. Pengarang kitab ini membantah penggunaan hadis ini sebagai dalil kerana menurut beliau hadis ini membicarakan tentang bantal berwarna merah, bukannya pakaian.


Boleh memakai pakaian warna merah. Ini ialah mazhab Malikiah dan Syafiiyyah. Hujah mereka ialah :


Hadis Al-Bara bin Azib RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda,

"Nabi adalah orang yang berdada bidang, beliau mempunyai rambut yang mencecah kedua telingaaku pernah melihat baginda saw memakai pakaian yang berwarna merah. Aku belum pernah melihat sesuatu yang lebih indah daripada itu"
(Sahih Al - Bukhari : 5 848)


Dari Jabir bin Samurah RA, beliau berkata,

"Aku melihat Nabi SAW pada malam idhiyan (malam yang bulan terang benderang), lalu aku memerhatikan Nabi SAW dan bulan, sedangkan saat itu baginda SAW memakai pakaian berwarna merah. Ternyata bagiku baginda SAW lebih indah daripada bulan"
(At - Tirmizi : 2 811, An - Nasai Dalam Al - Kubra : 9 460, Abu Ya'la (7 477) Al - Hakim : IV / 207)


 Pengarang mengatakan hadith ini dhoif tetapi diperkuatkan oleh hadith sebelumnya.


Argumen :

1. Kumpulan ulama no 1 (Hanabilah dan Hanafiah) membalas dengan menyatakan bahawa pakaian yang Rasulullah SAW pakai bukanlah warna merah sepenuhnya, bahkan bercampur dengan warna-warna yang lain.


Kesimpulan pengarang :


  1. Hujah kumpulan ulama yang memakruhkan tidak kuat.

  2. Zahir nas menunjukkan tidak mengapa jika memakai pakaian berwarna merah.

  3. Meninggalkan pakaian yang sepenuhnya berwarna merah yang tidak ada warna yang lain adalah lebih utama dan selamat kerana keluar daripada perselisihan adalah digalakkan.

"Khuruj min al-khilaf mustahhab"


Syarat-syarat umum sesuatu fesyen ataupun busana itu menepati hukum syara' :

  1. Tidak ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

  2. Tidak nipis.

  3. Tudung hendaklah melepasi paras dada.

  4. Tidak diperagakan dengan digaya-gayakan di hadapan ajnabi seperti catwalk dalam peragaan fesyen walaupun dikatakan ia menutup aurat.

  5. Tidak berhias dan bersolek seperti tabarruj jahiliyyah.



Penutup :

1. Abdul Qadir Ahmad 'Atha (Syurga di Mata Ahlussunnah, 1995, M/S 110) mengupas dengan menarik sekali mengenai wanita penghuni syurga. Firman Allah dari Surah Al-Baqarah ayat 25 yang bermaksud,

".. dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya"


Suci segalanya zahir dan batin dari segala jenis bentuk najis dan kotoran. Allah berfirman jua dalam surah Ad-Dukhan ayat 54 yang bermaksud,

"Demikianlah, dan Kami berikan kepada mereka bidadari Hurul 'Ein (bidadari) wanita muda yang cantik paras rupanya"


Imam Mujahid mentafsirkan ayat "Qaasiraatu Al-Tharfi" (yang sopan) dengan pendek pandangannya, hanya memandang suaminya, tidak selain dia.


Menurut Imam Hassan, mereka tidak bertabarruj yakni bersolek dan bercantik-cantik untuk dipandang orang lain dan tidak ingin dilihat orang selain suaminya. Subhanallah..! Malulah wanita yang bakal jadi ketua bidadari di syurga nanti jika bertabarruj di dunia.

Tak puas hati lagi..? Pergi cari dan sila baca buku penulisan Abu Syuqqah "Tahrirul mar'ah fi 'ashrir risalah (Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah)" Ada 6 jilid semuanya.. Harga RM 240.. Buku ni diiktiraf bagus oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entri Saya

1 comment:

Unknown Unknown said...

Boleh bagi no whatsapp...sy perlu kan nasihat tentang niqab

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...